.Welcome.

Pengikut

Khamis, 6 Mei 2010

Bahaya Gonorrhea....!!


o Apakah dia Gonorrhea?

Gonorrhea adalah sejenis Penyakit Kelamin yang berjangkit melalui hubungan kelamin. Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria Neisseria Gonorrhoeae, iaitu sejenis bakteria yang hidup dan mudah membiak dengan cepat di dalam saluran pembiakan/peranakan seperti pangkal rahim (cervix), rahim (uterus), and tiub fallopian (saluran telur) bagi wanita dan juga saluran kencing (urine canal) bagi wanita dan lelaki. Bakteria ini juga boleh membiak di dalam mulut, kerongkong, mata dan dubur.

o Adakah Gonorrhea adalah penyakit yang biasa dijangkiti/terjadi?

Gonorrhea adalah penyakit kelamin yang mudah dijangkiti. Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, Gonorrhea merupakan antara penyakit kelamin yang paling kerap menjangkiti penduduk Malaysia.

o Bagaimana seseorang itu dijangkiti?

Gonorrhea disebarkan cukup hanya melalui sentuhan pada zakar, faraj, mulut atau dubur mereka yang mengidapnya. Ejakulasi tidak perlu berlaku untuk bakteria ini dipindahkan atau dijangkitkan. Gonorrhea juga boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses melahirkan.

Mereka yang pernah dijangkiti gonorrhea dan telah berjaya dirawat, boleh dijangkiti semula jika mereka melakukan hubungan seks dengan mereka yang dijangkiti penyakit ini.

o Siapakah yang berisiko dijangkiti?

Sesiapa sahaja yang aktif secara seksual dan kerap bertukar pasangan seks adalah berisiko untuk dijangkiti penyakit ini. Kes jangkitan Gonorrhea paling banyak dilaporkan berlaku pada remaja dan golongan muda yang aktif secara seksual.

o Apakah tanda-tanda atau simtom-simtom Gonorrhea?

Kebanyakan lelaki tidak menunjukkan apa-apa simtom diangkiti Gonorrhea. Sesetengahnya pula akan dapat melihat simtom selepas 2 ke 5 hari dijangkiti penyakit kelamin ini dan ada juga yang hanya mendapat simtom selepas 30 hari dijangkiti Gonorrhea. Simtom dan tanda-tanda dijangkiti dijangkiti Gonorrhea termasuklah rasa sakit ketika kencing (rasa sakit seperti sakit kencing tidak lawas), keluar lendiran berwarna putih, kuning atau kehijauan dari lubang zakar. Kadang-kala simtom dijangkiti Gonorrhea termasuklah rasa sakit dan bengkak pada buah zakar.

Bagi wanita pula, simtom dijangkiti Gonorrhea selalunya sedikit dan tidak ketara, dan kebanyakan jangkitan Gonorrhea pada wanita tidak menunjukkan apa-apa simtom atau tanda. Simtom pada wanita selalunya sering disalah sangka sebagai jangkitan kencing yang mengakibatkan kencing tidak lawas, atau jangkitan kuman pada faraj. Ini kerana simtom-simtom awal dijangkiti penyakit kelamin Gonorrhea ini adalah seperti rasa sakit ketika kencing (rasa sakit seperti sakit kencing tidak lawas), keputihan yang banyak, juga pendarahan di antara kitaran haid. Wanita yang dijangkiti Gonorrhea berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius akibat jangkitan tersebut, tidak kira sama ada simtom jangkitan Gonorhea itu pada awalnya jelas atau tidak.

Simtom dijangkiti Gonorrhea di lubang dubur pula termasuklah keluar lendiran dari lubang dubur, gatal, perit, berdarah atau sakit ketika membuang air besar. Jangkitan di lubang dubur kadangkala tidak kelihatan atau tidak menunjukkan apa-apa simtom. Manakala jangkitan di dalam kerongkong pula kebiasaanya seperti sakit tekak, walaupun lazimnya ia tidak menunjukkan apa-apa simtom akibat jangkitan Gonorrhea di kerongkong.

o Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh Gonorrhea?

Penyakit Gonorrhea yang dibiarkan tanpa rawatan boleh mengakibatkan masalah yang serius serta kerosakan kekal pada kesihatan wanita dan juga lelaki yang dijangkiti.

Bagi wanita, gonorrhea adalah penyebab utama Radang Pelvis (pelvic inflammatory disease atau PID). PID kadang kala tidak menunjukkan apa-apa simtom, namun PID boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada tiub fallopian, rahim (uterus) dan tisu-tisu di sekelilingnya. Kerosakan ini boleh membawa kepada rasa sakit yang teruk pada pelvis, mandul, dan kehamilan ektopik (hamil di luar rahim) yang boleh mengakibatkan kematian.

Bagi lelaki, jangkitan gonorrhea boleh merebak ke epididymis (salur yang membawa keluar sperma dari buah zakar/testis), mengakibatkan rasa sakit pada zakar dan buah zakar serta boleh mengakibatkan mandul sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Kuman yang mengakibatkan Gonorrhea juga boleh memasuki darah dan sendi-sendi tulang. Keadaan ini boleh membahayakan nyawa pesakit tersebut. Mereka yang dijangkiti Gonorrhea mudah dijangkiti virus HIV sekira terdedah kepada virus tersebut. Pembawa HIV yang mengidap Gonorrhea juga dapat memindahkan virus HIV dengan mudah kepada orang lain.

o Apakah kesan Gonorrhea terhadap wanita hamil dan bayi dalam kandungannya?

Bagi wanita hamil, Gonorrhea boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses melahirkan bayi. Jangkitan Gonorrhea kepada bayi boleh mengakibatkan bayi buta, jangkitan pada sendi tulang bayi, atau jangkitan pada darah yang boleh mengakibatkan kematian pada bayi yang dijangkiti.

Gonorrhea boleh dirawat dan diubati dengan pengambilan antibiotik ketika hamil. Rawatan kepada Gonorrhea hendaklah diberi kepada ibu hamil yang dijangkiti sebaik sahaja penyakit ini dapat dikesan, untuk mengurangkan risiko komplikasi jangkitan kepada bayi. Wanita hamil digalakkan menjalani ujian untuk mengesan penyakit kelamin semasa di awal fasa kehamilan. Wanita hamil yang dijangkiti penyakit kelamin harus mendapatkan nasihat dan rawatan dari doktor.

o Bagaimana Gonorrhea dapat dikesan?

Terdapat beberapa cara ujian makmal dan di klinik untuk mengesan jangkitan Gonorrhea bagi lelaki dan wanita. Ujian air kencing atau ujian darah atau pengambilan contoh daripada kawasan jangkitan seperti pangkal rahim, salur kencing, kerongkong, dubur atau zakar adalah cara untuk mengesan kehadiran bakteria penyakit ini. Sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan rawatan atau mengesan kehadiran Gonorrhea.

o Apakah rawatan untuk Gonorrhea?

Beberapa antibiotik dapat menyembuhkan Gonorrhea untuk remaja dan orang dewasa. Bagaimanapun, bakteria yang mengakibatkan Gonorrhea semakin tahan kepada ubat-ubatan biasa dan ini menyukarkan proses rawatan. Oleh kerana kebanyakan mereka yang dijangkiti Gonorrhea turut dijangkiti Chlamydia, antibiotik untuk kedua-dua penyakit kelamin ini akan diberikan sekali. Mereka yang dijangkiti Gonorrhea harus melakukan ujian untuk mengesan kehadiran penyakit kelamin (STD) yang lain.

Adalah amat penting untuk menghabiskan kesemua antibiotik yang diberi dan mengikut arahan cara pengambilan antibiotik yang betul seperti yang diarahkan oleh doktor anda untuk menyembuhkan jangkitan Gonorrhea. Walaupun terdapat ubat-ubatan dapat menyembuhkan Gonorrhea, tetapi ianya tidak akan dapat menyembuhkan kembali kerosakan kekal yang diakibatkan oleh penyakit ini, sekiranya berlaku. Mereka yang pernah dijangkiti dan telah sembuh dari jangkitan Gonorrhea, boleh mendapat semula penyakit ini sekiranya mereka melakukan hubungan seksual dengan mereka yang dijangkiti Gonorrhea.

Sekiranya rawatan telah diberikan dan antibiotik telah habis diambil, dan masih terdapat simtom jangkitan, pesakit hendaklah memberitahu dan berjumpa semula doktor mereka untuk diuji sekali lagi.

o Bagaimana Gonorrhea boleh dielak?


Seperti jangkitan Penyakit Kelamin yang lain, jangkitan Gonorrhea boleh dielak dengan tidak melakukan hubungan seksual, atau berada di dalam hubungan monogamous (hanya satu pasangan) dengan pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti penyakit ini.

Penggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin boleh mengurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin. Apa-apa perubahan terhadap organ kelamin anda seperti keputihan yang luar biasa, sakit ketika kencing, ruam atau lepuh, anda harus menghentikan kegiatan seks serta merta dan berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian tentang jangkitan atau perubahan yang berlaku.

Mereka yang dijangkiti Gonorrhea serta pasangan seksnya hendaklah berhenti dari melakukan hubungan seksual sehingga tamat tempoh berubat. Kesemua pasangan seks hendaklah diuji dan dirawat sekiranya disahkan mengidap Gonorrhea. Jika tidak, penyakit ini akan terus berjangkit dan tidak akan sembuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan