.Welcome.

Pengikut

Khamis, 6 Mei 2010

Rahsia disebalik kanta lekap.....


Mahu bergaya atau undang bahaya?

KETIKA mula diperkenalkan, kanta lekap tidak lebih daripada pengganti kaca mata. Golongan berkaca mata yang rimas menyarung 'teropong' mereka ini, boleh beralih kepada kanta lekap untuk mencari kelainan biarpun sukar melakukannya kali pertama.

Seiring perkembangan bidang optometri dan fesyen, kanta lekap sudah berubah fungsinya. Sekarang, kanta lekap berwarna makin popular digayakan ramai orang - baik golongan selebriti mahupun individu yang teringin tampil berbeza.

Kanta lekap kini sudah dianggap aksesori berbanding fungsi asalnya. Kanta lekap berwarna makin digemari pelbagai peringkat usia dan mudah didapati pada harga murah.

Akibat permintaan tinggi, ada pihak memandang mudah soal penjualan kanta lekap. Menurut prosedur betul, penjualan kanta lekap perlu dilakukan optometris bertauliah yang memeriksa mata pengguna terlebih dulu bagi menentukan kesesuaian penggunaan kanta lekap.

Namun, berbeza pula keadaannya sekarang. Kebanyakan pengguna lebih mementingkan produk murah berbanding aspek keselamatan dalam penggunaan kanta lekap. Rata-rata mereka tidak merujuk kepada optometris sebelum mendapatkan kanta lekap. Malah ada yang membeli kanta lekap melalui internet dan pasar malam.

Bagi individu yang menggunakan kanta lekap tanpa merujuk optometris, risiko mengalami masalah mata adalah tinggi. Antara masalah yang boleh dihadapi pengguna kanta lekap ialah jangkitan, alahan hingga lebih kronik, risiko menjadi buta.

Sehubungan itu, individu yang ingin menggunakan kanta lekap, sama ada untuk pembetulan penglihatan atau tidak, perlu membuat pemeriksaan mata dengan optometris bertauliah.

Apakah fungsi kanta lekap sama dengan cermin mata?

Seperti cermin mata, kanta lekap adalah sejenis alat bantuan penglihatan. Cuma, berbeza dengan cermin mata yang berbingkai dan pemakaiannya boleh dilihat, kanta lekap pula diperbuat daripada plastik, lebih kecil, nipis, ringan dan melekap pada mata.

Bukan itu saja, ada juga kanta lekap yang berwarna. Kebanyakannya bukan hanya digunakan sebagai alat bantuan penglihatan sebaliknya sebagai kosmetik. Ini bertujuan menampakkan warna iris yang berbeza daripada asal.

Kanta lekap juga digunakan untuk tujuan terapeutik (rawatan) bagi sesetengah masalah mata. Antaranya myopia (rabun jauh), perbezaan tahap ketinggian rabun antara kedua-dua belah mata yang jauh berbeza (anisometropia) atau masalah mata silau yang agak serius.

Penyakit begini lebih sesuai dirawat dengan penggunaan kanta lekap khusus.

Apakah jenis kanta lekap yang ada di pasaran sekarang?

Secara ringkasnya, ada dua jenis kanta lekap iaitu kanta lekap lembut dan keras. Kebanyakan kanta lekap yang ada di pasaran sekarang adalah dari jenis lembut. Kanta lekap keras turut dipanggil RGP (rigid gas-permeable) yang diperbuat daripada plastik keras dan lebih tahan lama.

Kanta lekap jenis ini membenarkan oksigen melalui kanta dan tempoh hayatnya lebih lama. Cuma, ia tidak sesuai untuk dipakai ketika melakukan aktiviti fizikal lasak.

Kanta lekap lembut pula kebanyakannya jenis pakai buang, sama ada harian, mingguan atau bulanan. Kanta lekap begini lebih selesa, boleh mengubah warna mata dan boleh dipakai ketika melakukan aktiviti fizikal lasak manakala tempoh jam pemakaiannya lebih lama.

Adakah semua orang sesuai memakai kanta lekap?

Kanta lekap memang selamat selagi pengguna mendapat nasihat daripada optometris serta mengamalkan rutin penjagaan yang baik. Bagi yang mempunyai mata yang sihat, tidak ada masalah bagi mereka menggunakan kanta lekap.

Dari segi usia juga, tidak ada had usia untuk seseorang menggunakan kanta lekap. Ini kerana dari segi rawatan perubatan, ada kes di mana bayi diberikan kanta lekap terapeutik untuk merawat masalah pada mata mereka.

Namun, bagi sesetengah individu, misalnya mereka yang mempunyai mata jenis kering, menghidap sebarang jenis penyakit okular (mata), wanita mengandung atau mereka yang sedang mengambil ubat-ubatan untuk penyakit yang serius, tidak sesuai menggunakan kanta lekap. Ini kerana dalam keadaan seperti yang dinyatakan, mata mereka biasanya lebih sensitif, mudah berlaku edema dan sebagainya.

Sehubungan itu, pemakaian kanta lekap mungkin boleh menimbulkan komplikasi kepada mata mereka. Penilaian untuk menentukan penggunaan kanta lekap perlu dilakukan menggunakan lampu celah biomikroskop serta pemeriksaan dan nasihat mengenai penjagaan daripada optometris. Ini penting bagi mendapatkan pemasangan kanta lekap yang optimum.

Apakah penyebab masalah mata berpunca daripada pemakaian kanta lekap?

Antara punca yang lazim dilihat ialah amalan penggunaan kanta lekap itu sendiri. Ada individu menggunakan kanta lekap lebih daripada tempoh yang sepatutnya termasuk memakainya ketika tidur malam.

Memang dari segi keadaan fizikal, kanta lekap nampak masih elok tapi dari segi fungsi dan material, ia mungkin tidak lagi selamat digunakan. Ramai yang masih menggunakan kanta lekap biarpun tamat tempoh atas alasan tidak merasai apa-apa perubahan atau masalah.

Mereka seharusnya tahu, kesan masalah ini tidak dapat dilihat dalam tempoh yang singkat. Kesannya akan berlaku dalam jangka panjang. Selain pemakaian yang melebihi tempoh sepatutnya, masalah juga boleh timbul daripada cucian dan simpanan kanta lekap yang tidak sempurna.

Bekas simpanan kanta lekap yang kotor juga boleh mengundang jangkitan bakteria. Oleh itu, bekas kanta lekap mesti dicuci setiap minggu dan diganti sekurang-kurangnya setiap tiga bulan.

bagaimanakah cara penjagaan kanta lekap yang betul?

Paling utama dalam penggunaan kanta lekap adalah kebersihan. Ini termasuklah tangan, kuku, bekas simpanan dan apa saja yang terbabit dengan pemakaian kanta lekap.

Kanta perlulah dicuci dengan larutan khusus dan disimpan dalam larutan yang khusus untuk kanta lekap. Penggunaan ubat titis mata juga mesti digunakan mengikut keperluan.

Jangan pakai kanta lekap melebihi tempoh yang sepatutnya dan dari semasa ke semasa, jumpa optometris untuk melakukan pemeriksaan mata walaupun anda pengguna kanta lekap yang tidak mempunyai kuasa untuk pembetulan penglihatan.

Apakah rawatan yang biasanya diberikan kepada mereka yang mengalami masalah mata akibat penggunaan kanta lekap?


Ini bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit. Apabila berjumpa optometris, mereka harus ceritakan masalah mata yang mereka hadapi dan rutin pemakaian kanta lekap supaya punca boleh dikesan.

Bagi kebanyakan kes, pesakit biasanya akan diberikan ubat titis atau diberikan produk kanta lekap yang bersesuaian.

Tip

# Bagi pengguna baru, ada tentu keliru bahagian dalam atau luar kanta lekap. Perbezaan mungkin tidak ketara tetapi pastikan ia kelihatan seperti separuh bola. Letakkan kanta lekap pada jari hingga terlihat bentuk yang dikatakan. Kemudian, bawa kanta dengan bahagian ‘dalam cawan’ menghadap mata anda. Jika kanta yang dipakai berbentuk U sempurna, bermakna itulah posisi betul.

Sesetengah kanta lekap mempunyai tanda laser, misalnya jenama produk. Ini juga boleh membantu menentukan bahagian dalam atau luar kanta lekap.

# Pastikan anda membasuh tangan dengan sempurna sebelum memakai kanta lekap. Elak menggunakan sabun yang terlalu banyak kandungan pewangi, minyak atau produk yang mengandungi lanolin yang boleh melekat pada permukaan kanta lekap. Sesetengah doktor menasihatkan supaya memakai kanta lekap yang sama pada mata sama.

# Sentiasa pastikan anda mencuci tangan sebelum mengeluarkan kanta lekap. Jika anda berdiri di depan sinki, pastikan anda menggunakan tisu yang bersih untuk menutup lubang saluran sinki bagi mengelak kanta lekap terjatuh ke dalamnya.

# Untuk mengeluarkan kanta lekap, pandang atas atau sisi sambil menarik bahagian bawah mata. Dengan menggunakan jari, gerakkan kanta lekap secara perlahan-lahan dan berhati-hati ke bahagian putih mata anda. Dari situ, kepit kanta lekap perlahan-lahan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari dan keluarkan dari mata.

# Peringatan, jangan sesekali berkongsi kanta lekap. Ini boleh mengundang padah pada mata anda.

sumber: berita harian

Rawatan untuk gigi jonggang

SUMBAT sahaja puting pada mulut bayi yang menangis namun formula mudah itu boleh membawa kesan negatif jika ia diamalkan secara berterusan.

Menurut pakar, amalan tersebut boleh menyebabkan fenomena gigi jongang. Malah selebriti seperti Os, Misha Omar, Allahyarham A.R. Tompel atau pemain bola sepak Ronaldinho, pernah dikaitkan dengan gigi jongang. Amalan menghisap puting botol atau puting tiruan perlu dielakkan sejak awal bagi menghindari masalah tersebut terjadi.

Bahagian dalaman mulut ini amat kompleks kerana ia merupakan kombinasi tisu lembut dan keras, bentuk mulut si kecil amat mudah berubah atau dilentur dengan hanya menghisap jari.
Kanak-kanak bawah enam tahun lebih berisiko tinggi kerana pembesaran bahagian mulut dan rahang mereka amat aktif. Apabila ada tekanan di lelangit, gigi dan rahang, ia dengan mudah mengubah bentuk asal bahagian mulut.

Banyak kajian pakar ortodontik mendapati amalan menghisap jari dan puting menjadi faktor utama perubahan struktur rahang serta gigi.

Selain suka menghisap jari, gigi berlapis, bentuk gigi yang abnormal serta kehilangan gigi akibat rosak atau kemalangan juga menjadi faktor kepada pembentukan gigi jongang.
Jongang ditakrifkan sebagai perbezaan jarak antara gigi atas dan bawah yang berselisih melebihi empat milimeter (mm).

Tiga tahap jongang

Secara umum terdapat dua keadaan jongang iaitu gigi dan rahang mencembung ke dalam atau ke luar. Keadaan tersebut diistilahkan sebagai poor bite dan deep bite.

Tahap keadaan gigi-gigi sebelah atas dan sebelah bawah yang mempunyai hubungan yang tidak normal ini dibahagikan kepada maloklusi kelas I, II dan III.

Maloklusi kelas I merupakan satu keadaan gigi atas berselisih dengan gigi bawah pada paras normal iaitu dua hingga empat mm tetapi gigi tidak teratur, sesak ataupun jarang. Ia tidak melibatkan rahang dan ramai yang mengalaminya.


Mandibular retrognathism atau gigitan berlebihan (over bite) diletakkan sebagai jongang kelas II. Ini menjadikan rahang atas dan gigi berselisih dengan rahang dan gigi bawah dengan jarak yang agak besar seperti pelakon komedi Os

Jongang jenis ini bertambah teruk jika bibir bawah terperangkap di belakang gigi atas atau bibir atas seseorang itu agak pendek dan tidak dapat mengawal posisi gigi atas.

Kelas III atau prognathism pula berlaku apabila gigi bawah lebih menonjol daripada gigi atas.

Dalam kes seperti ini, pesakit selalunya mempunyai tulang rahang bawah yang besar atau tulang rahang atas yang pendek.

Perbezaan saiz dan struktur rahang juga mempengaruhi pembentukan gigi serta kecembungan rahang.

Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan dalam menstruktur semula gigi dan rahang tetapi rawatan bergantung kepada tahap masalah dan umur pesakit.

Opsyen rawatan

Rawatan mengatasi masalah jongang lebih berkesan dan mudah jika abnormaliti rahang atau gigi dapat dikesan pada peringkat awal terutama pada fasa gigi kekal mula tumbuh kerana corak pembentukan gigi boleh dikenal pasti.

Pendakap berfungsi merupakan satu daripada kaedah rawatan. Kaedah ini membabitkan sejenis pendakap berspring yang dipasang di antara geraham atas dan bawah

Penggunaan alat tersebut membantu membetulkan kedudukan gigi atas dan bawah melalui tekanan pada tulang rahang.

Kaedah lain pula ialah dengan menggunakan pendakap tetap ortodontik membabitkan satu set dawai dan pendakap yang dilekatkan pada gigi.

Pendakap-pendakap tersebut secara umumnya dipanggil braces. Tempoh penggunaan pendakap adalah berbeza mengikut kes tetapi secara lazim, ia memakan masa sehingga 28 bulan.

Teknik tersebut menggunakan dawai gred perubatan yang disesuaikan dan diketatkan secukupnya untuk mengubah kedudukan gigi pada kedudukan yang dikehendaki.


Cabut gigi



Bagi sesetengah kes, beberapa batang gigi terpaksa dicabut bagi memberi ruang pendakap menarik gigi lain ke ruang kosong ini.

Pendakap kekal atau pendakap berfungsi perlu dipakai sepanjang masa bagi memastikan rahang terus bergerak kepada posisi yang lebih baik.

Secara perlahan-lahan, alat tersebut akan mengalihkan kedudukan gigi bersama pembesaran rahang yang berlaku secara semula jadi.

Kaedah terakhir ialah penggunaan retainer atau penahan gigi. Alat tersebut berfungsi menahan gigi pada tempatnya selepas rawatan pergigian.

Sesetengah pakar gigi turut menasihatkan pesakit memakainya untuk satu tempoh yang tertentu bagi memastikan kedudukan gigi kekal pada kedudukan baru.

Ketuat Kelamin (Genital Wart)


o Apakah dia Ketuat Kelamin?

Ketuat Kelamin (genital warts, venereal warts atau condyloma acuminata) adalah ketumbuhan kulit yang lembut, lembap, dan tidak sakit. Ia merupakan ketumbuhan kulit yang berwarna merah jambu, keperangan atau seperti warna kulit. Kebanyaakan ketuat kelamin kelihatan seperti kubis bunga (berbiji-biji/berlapis).

Ketuat kelamin tumbuh di atas zakar atau kawasan yang berhampiran zakar, kawasan dubur, di bibir faraj, dan kadangkala ia muncul di pangkal rahim (saluran berbentuk leher antara uterus dan faraj). Apabila ini berlaku, gejala yang mungkin timbul termasuklah pendarahan semasa pergerakan usus atau sakit ketika membuang air kecil.

Ketuat boleh tumbuh secara sebji-sebiji atau berkelompok. Kadangkala kelompok ketuat terjadi di sekeliling sebiji ketuat besar.


o Adakah Ketuat Kelamin adalah penyakit yang biasa berlaku/terjadi?

Penyakit ketuat kelamin boleh merebak melalui hubungan seksual. Penyakit ketuat kelamin biasa menjangkiti lelaki dan wanita yang aktif dalam hubungan seksual pada semua peringkat usia, bangsa atau kelas sosial di seluruh dunia.

Pesakit ketuat kelamin mudah menjadi murung dan rendah diri serta kurang berminat terhadap hubungan seks. Sekiranya tidak dirawat, bagi pesakit wanita risiko mendapat barah pangkal rahim meningkat, sementara pesakit lelaki pula menghadapi risiko meningkatnya barah prostat.


o Bagaimana Ketuat Kelamin boleh dijangkiti?

Penyakit ketuat kelamin disebabkan oleh virus human papillomavirus (HPV). Terdapat banyak jenis HPV dan tidak kesemuanya menyebabkan Ketuat Kelamin.

Cara penyebaran virus HPV ini adalah melalui sentuhan langsung dari kulit ke kulit ketika melakukan hubungan seks melalui faraj, dubur atau secara oral dengan seseorang yang telah pun dijangkiti penyakit tersebut. Ketuat kelamin adalah sangat berjangkit. Anda mempunyai risiko dijangkiti ketuat kelamin setinggi 60% dengan hanya sekali melakukan hubungan seksual dengan pasangan yang menghidap ketuat kelamin ini.


o Bagaimana saya mendapat virus HPV?

HPV adalah virus yang tersebar melalui hubungan seksual. Satu-satunya cara untuk tidak dijangkiti HPV ialah dengan tidak melakukan hubungan seksual.

Jika anda seorang yang seksual aktif, lakukan hubungan kelamin dengan pasangan kekal yang tidak dijangkiti HPV sahaja, boleh merendahkan risiko anda dijangkiti Ketuat Kelamin.

Jangkitan Ketuat kelamin boleh mengambil masa yang lama untuk timbul atau disedari. Ini kerana masa pengeramannya yang lama. Ini bermakna jarak masa seseorang dijangkiti virus HPV dengan timbulnya Ketuat Kelamin ini boleh mengambil masa berbulan-bulan lamanya dan adakalanya bertahun. Bagi wanita pula, Ketuat Kelamin mungkin menyerang di kawasan yang tidak kelihatan seperti di dalam salur faraj dan di pangkal rahim. Tidak semestinya tanpa tanda atau tanpa kehadiran Ketuat Kelamin menandakan anda tidak dijangkiti HPV.

Penggunaan kondom yang betul boleh mengelakkan jangkitan HPV. Tetapi kondom tidak dapat menutupi keseluruhan kulit yang dijangkiti Ketuat Kelamin.


o Rawatan Ketuat Kelamin

Sekiranya anda menyedari kehadiran ketuat di kawasan kelamin anda, sila berjumpa doktor anda dengan segera. Doktor anda akan dapat mengesahkan Ketuat kelamin ini dengan pemeriksaan fizikal sahaja. Bagi wanita, pemeriksaan pap smear boleh dilakukan bertujuan mengesan sebarang kelainan kepada alat kelamin.

Ketuat Kelamin harus dirawat oleg doktor. Jangan sekali-kali merawat sendiri ketuat kelamin. Ketuat Kelamin boleh dihilangkan tetapi virus HPV akan kekal di dalam badan dan tidak boleh dirawati. Ini menerangkan mengapa Ketuat Kelamin ini boleh menyerang kembali setelah dibuang.

Pilihan rawatan masalah ketuat kelamin yang ada sekarang kebanyakannya ditumpukan kepada tujuan untuk menghilangkan ketuat yang ketara dan bukan terus kepada penyebabnya. Rawatan yang diberikan kepada pesakit adalah berbeza mengikut saiz, lokasi dan bilangan ketuat serta jantina pesakit.

Antara jenis rawatan yang dicadangkan ialah membekukan ketuat tersebut atau dikenali sebagai Cryotherapy, yang dianggap antara rawatan yang berkesan.

Selain itu kaedah podophyllin iaitu menggunakan sejenis tumbuhan yang boleh memusnahkan tisu di tempat yang dijangkiti di permukaan kulit.

Rawatan lain ialah sapuan sejenis kimia di permukaan ketuat yang dikenali sebagai Asid Trichloracetic (TCA) bagi menyembuhkan penyakit ketuat kelamin ini.

Terdapat juga doktor yang mungkin mencadangkan rawatan Electrocautery bertujuan menghapuskan tisu yang dijangkiti, dengan menggunakan terapi laser atau pembedahan.

Suntikan ubat Interferon secara langsung kepada kawasan yang dijangkiti juga turut boleh digunakan untuk merawat penyakit ketuat kelamin ini.

Selain itu penggunaan sejenis krim yang dinamakan krim Imiquimod yang boleh dibeli di kebanyakan farmasi yang dikenali sebagai pengubah tindak balas daya tahan atau “immune response modifiers” juga boleh digunakan. Pengunaan krim ini dikatakan kaedah rawatan alternatif terbaik berbanding terapi pemusnahan tisu kerana ia lebih selamat, berkesan dan mudah digunakan.


o Apakah yang akan terjadi sekiranya Ketuat Kelamin tidak dirawat?

Ketuat Kelamin boleh tumbuh dan bertambah jika tidak dirawat. Ia juga boleh merebak ke kawasan lain. Jika anda seksual aktif, anda berisiko tinggi memindahkan virus HPV dan jangkitan Ketuat Kelamin ini kepada pasangan anda.

Beberapa jenis HPV boleh menyebabkan berlakunya ketumbuhan sel yang tidak normal di kawasan serviks. Sel-sel yang tidak normal ini boleh bertukar menjadi kanser apabila dibiarkan tanpa rawatan. Beberapa jenis virus HPV juga dikenalpasti boleh mengakibatkan kanser rahim, kanser usus, kanser prostat dan sebagainya.


o Mengelak jangkitan Ketuat Kelamin

Oleh kerana tiada rawatan yang 100% efektif bagi penyakit ketuat kelamin, ianya adalah penting untuk mengelak penyebaran virus HPV ketuat kelamin yang juga berpotensi menjadi penyebab barah pangkal rahim bagi wanita dan barah prostat bagi lelaki, dengan beberapa cara termasuk :-

» Mengelak dari melakukan hubungan kelamin sehingga selesai tempoh berubat
» Mengamalkan cara yang selamat dengan menggunakan kondom dengan cara yang betul dan menutupi bahagian yang terkena jangkitan penyakit Ketuat Kelamin

Selain itu adalah penting bagi wanita untuk menjalani pemeriksaan pap smear bertujuan mengesan sebarang kelainan kepada alat kelamin dan organ reproduksi anda. Pengesanan awal perubahan yang diperoleh daripada ujian ini adalah langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkan barah pangkal rahim.


Maklumat Tambahan:
Virus Human Papillomavirus (HPV)

Rujukan:
http://www.geocities.com/alam_penyakit/PenyakitKelaminCondylomaAcuminata.htm
http://familydoctor.org/online/famdocen/home/common/sexinfections/sti/215.html
http://www.cdc.gov/std/hpv/

Bahaya Gonorrhea....!!


o Apakah dia Gonorrhea?

Gonorrhea adalah sejenis Penyakit Kelamin yang berjangkit melalui hubungan kelamin. Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria Neisseria Gonorrhoeae, iaitu sejenis bakteria yang hidup dan mudah membiak dengan cepat di dalam saluran pembiakan/peranakan seperti pangkal rahim (cervix), rahim (uterus), and tiub fallopian (saluran telur) bagi wanita dan juga saluran kencing (urine canal) bagi wanita dan lelaki. Bakteria ini juga boleh membiak di dalam mulut, kerongkong, mata dan dubur.

o Adakah Gonorrhea adalah penyakit yang biasa dijangkiti/terjadi?

Gonorrhea adalah penyakit kelamin yang mudah dijangkiti. Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, Gonorrhea merupakan antara penyakit kelamin yang paling kerap menjangkiti penduduk Malaysia.

o Bagaimana seseorang itu dijangkiti?

Gonorrhea disebarkan cukup hanya melalui sentuhan pada zakar, faraj, mulut atau dubur mereka yang mengidapnya. Ejakulasi tidak perlu berlaku untuk bakteria ini dipindahkan atau dijangkitkan. Gonorrhea juga boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses melahirkan.

Mereka yang pernah dijangkiti gonorrhea dan telah berjaya dirawat, boleh dijangkiti semula jika mereka melakukan hubungan seks dengan mereka yang dijangkiti penyakit ini.

o Siapakah yang berisiko dijangkiti?

Sesiapa sahaja yang aktif secara seksual dan kerap bertukar pasangan seks adalah berisiko untuk dijangkiti penyakit ini. Kes jangkitan Gonorrhea paling banyak dilaporkan berlaku pada remaja dan golongan muda yang aktif secara seksual.

o Apakah tanda-tanda atau simtom-simtom Gonorrhea?

Kebanyakan lelaki tidak menunjukkan apa-apa simtom diangkiti Gonorrhea. Sesetengahnya pula akan dapat melihat simtom selepas 2 ke 5 hari dijangkiti penyakit kelamin ini dan ada juga yang hanya mendapat simtom selepas 30 hari dijangkiti Gonorrhea. Simtom dan tanda-tanda dijangkiti dijangkiti Gonorrhea termasuklah rasa sakit ketika kencing (rasa sakit seperti sakit kencing tidak lawas), keluar lendiran berwarna putih, kuning atau kehijauan dari lubang zakar. Kadang-kala simtom dijangkiti Gonorrhea termasuklah rasa sakit dan bengkak pada buah zakar.

Bagi wanita pula, simtom dijangkiti Gonorrhea selalunya sedikit dan tidak ketara, dan kebanyakan jangkitan Gonorrhea pada wanita tidak menunjukkan apa-apa simtom atau tanda. Simtom pada wanita selalunya sering disalah sangka sebagai jangkitan kencing yang mengakibatkan kencing tidak lawas, atau jangkitan kuman pada faraj. Ini kerana simtom-simtom awal dijangkiti penyakit kelamin Gonorrhea ini adalah seperti rasa sakit ketika kencing (rasa sakit seperti sakit kencing tidak lawas), keputihan yang banyak, juga pendarahan di antara kitaran haid. Wanita yang dijangkiti Gonorrhea berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius akibat jangkitan tersebut, tidak kira sama ada simtom jangkitan Gonorhea itu pada awalnya jelas atau tidak.

Simtom dijangkiti Gonorrhea di lubang dubur pula termasuklah keluar lendiran dari lubang dubur, gatal, perit, berdarah atau sakit ketika membuang air besar. Jangkitan di lubang dubur kadangkala tidak kelihatan atau tidak menunjukkan apa-apa simtom. Manakala jangkitan di dalam kerongkong pula kebiasaanya seperti sakit tekak, walaupun lazimnya ia tidak menunjukkan apa-apa simtom akibat jangkitan Gonorrhea di kerongkong.

o Apakah komplikasi yang diakibatkan oleh Gonorrhea?

Penyakit Gonorrhea yang dibiarkan tanpa rawatan boleh mengakibatkan masalah yang serius serta kerosakan kekal pada kesihatan wanita dan juga lelaki yang dijangkiti.

Bagi wanita, gonorrhea adalah penyebab utama Radang Pelvis (pelvic inflammatory disease atau PID). PID kadang kala tidak menunjukkan apa-apa simtom, namun PID boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada tiub fallopian, rahim (uterus) dan tisu-tisu di sekelilingnya. Kerosakan ini boleh membawa kepada rasa sakit yang teruk pada pelvis, mandul, dan kehamilan ektopik (hamil di luar rahim) yang boleh mengakibatkan kematian.

Bagi lelaki, jangkitan gonorrhea boleh merebak ke epididymis (salur yang membawa keluar sperma dari buah zakar/testis), mengakibatkan rasa sakit pada zakar dan buah zakar serta boleh mengakibatkan mandul sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Kuman yang mengakibatkan Gonorrhea juga boleh memasuki darah dan sendi-sendi tulang. Keadaan ini boleh membahayakan nyawa pesakit tersebut. Mereka yang dijangkiti Gonorrhea mudah dijangkiti virus HIV sekira terdedah kepada virus tersebut. Pembawa HIV yang mengidap Gonorrhea juga dapat memindahkan virus HIV dengan mudah kepada orang lain.

o Apakah kesan Gonorrhea terhadap wanita hamil dan bayi dalam kandungannya?

Bagi wanita hamil, Gonorrhea boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses melahirkan bayi. Jangkitan Gonorrhea kepada bayi boleh mengakibatkan bayi buta, jangkitan pada sendi tulang bayi, atau jangkitan pada darah yang boleh mengakibatkan kematian pada bayi yang dijangkiti.

Gonorrhea boleh dirawat dan diubati dengan pengambilan antibiotik ketika hamil. Rawatan kepada Gonorrhea hendaklah diberi kepada ibu hamil yang dijangkiti sebaik sahaja penyakit ini dapat dikesan, untuk mengurangkan risiko komplikasi jangkitan kepada bayi. Wanita hamil digalakkan menjalani ujian untuk mengesan penyakit kelamin semasa di awal fasa kehamilan. Wanita hamil yang dijangkiti penyakit kelamin harus mendapatkan nasihat dan rawatan dari doktor.

o Bagaimana Gonorrhea dapat dikesan?

Terdapat beberapa cara ujian makmal dan di klinik untuk mengesan jangkitan Gonorrhea bagi lelaki dan wanita. Ujian air kencing atau ujian darah atau pengambilan contoh daripada kawasan jangkitan seperti pangkal rahim, salur kencing, kerongkong, dubur atau zakar adalah cara untuk mengesan kehadiran bakteria penyakit ini. Sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan rawatan atau mengesan kehadiran Gonorrhea.

o Apakah rawatan untuk Gonorrhea?

Beberapa antibiotik dapat menyembuhkan Gonorrhea untuk remaja dan orang dewasa. Bagaimanapun, bakteria yang mengakibatkan Gonorrhea semakin tahan kepada ubat-ubatan biasa dan ini menyukarkan proses rawatan. Oleh kerana kebanyakan mereka yang dijangkiti Gonorrhea turut dijangkiti Chlamydia, antibiotik untuk kedua-dua penyakit kelamin ini akan diberikan sekali. Mereka yang dijangkiti Gonorrhea harus melakukan ujian untuk mengesan kehadiran penyakit kelamin (STD) yang lain.

Adalah amat penting untuk menghabiskan kesemua antibiotik yang diberi dan mengikut arahan cara pengambilan antibiotik yang betul seperti yang diarahkan oleh doktor anda untuk menyembuhkan jangkitan Gonorrhea. Walaupun terdapat ubat-ubatan dapat menyembuhkan Gonorrhea, tetapi ianya tidak akan dapat menyembuhkan kembali kerosakan kekal yang diakibatkan oleh penyakit ini, sekiranya berlaku. Mereka yang pernah dijangkiti dan telah sembuh dari jangkitan Gonorrhea, boleh mendapat semula penyakit ini sekiranya mereka melakukan hubungan seksual dengan mereka yang dijangkiti Gonorrhea.

Sekiranya rawatan telah diberikan dan antibiotik telah habis diambil, dan masih terdapat simtom jangkitan, pesakit hendaklah memberitahu dan berjumpa semula doktor mereka untuk diuji sekali lagi.

o Bagaimana Gonorrhea boleh dielak?


Seperti jangkitan Penyakit Kelamin yang lain, jangkitan Gonorrhea boleh dielak dengan tidak melakukan hubungan seksual, atau berada di dalam hubungan monogamous (hanya satu pasangan) dengan pasangan yang telah disahkan secara klinikal tidak dijangkiti penyakit ini.

Penggunakan kondom getah dengan cara yang betul dan pada setiap sesi hubungan kelamin boleh mengurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin. Apa-apa perubahan terhadap organ kelamin anda seperti keputihan yang luar biasa, sakit ketika kencing, ruam atau lepuh, anda harus menghentikan kegiatan seks serta merta dan berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian tentang jangkitan atau perubahan yang berlaku.

Mereka yang dijangkiti Gonorrhea serta pasangan seksnya hendaklah berhenti dari melakukan hubungan seksual sehingga tamat tempoh berubat. Kesemua pasangan seks hendaklah diuji dan dirawat sekiranya disahkan mengidap Gonorrhea. Jika tidak, penyakit ini akan terus berjangkit dan tidak akan sembuh.