.Welcome.

Pengikut

Rabu, 15 Disember 2010

Adakah Adam manusia pertama?

Daripada kajian tulang-tulang atau rangka manusia yang dijumpai di merata dunia, adalah dipercayai bahawa orang atau manusia terbahagi kepada beberapa spesies. Tiap-tiap spesies, yang dipanggil dengan nama-nama saintifik tertentu, mempunyai identiti sendiri, seperti pada bentuk rahang, yang dipengaruhi oleh pemakanan. Mereka tinggal pada zaman yang berlainan sehingga pupus. Terdapat juga bukti bahawa tiga spesies telah tinggal pada satu masa yang sama. Setelah mereka bertemu barulah kejadian membunuh satu sama lain berlaku, dan ada juga yang dipercayai telah memakan spesies yang lain.

Kajian yang dijalankan itu adalah sungguh Quranik, pada hemat kami, kerana menurut ayat-Nya yang berbunyi,

"Katakanlah, 'Mengembaralah di bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana Dia memulakan ciptaan; kemudian Allah menjadikan pertumbuhan akhir bertumbuh; sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu,'" (29:20).

Spesies terakhir, atau orang terakhir, adalah manusia yang masih hidup pada hari ini. Ia dipanggil Homo sapiens, dan spesies ini didapati lebih pandai daripada yang terdahulu. Selepas Homo sapiens dihapuskan, jika Dia kehendaki, Dia akan mencipta ciptaan yang baru pula.

Fenomena ciptaan yang silih berganti adalah sejajar dengan firman-firman Tuhan di bawah:

"Jika Dia menghendaki, Dia menghapuskan kamu, wahai manusia, dan mendatangkan yang lain; Allah adalah berkuasa atas yang demikian itu." (4:133)

"Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mencipta langit dan bumi dengan benar? Jika Dia mengkehendaki, Dia menghapuskan kamu, dan mendatangkan ciptaan yang baru," (14:19)

"Jika Dia mengkehendaki, Dia menghapuskan kamu, dan mendatangkan ciptaan yang baru, Tidaklah itu, bagi Allah, sukar." (35:16-17)

Kembali kepada Adam dan ciptaannya. Adam merupakan suatu ciptaan baru, kerana dia mengganti ciptaan, atau spesies, orang yang sebelumnya. Sila lihat ayat berikut:

"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan meletakkan di bumi khalifah (pengganti).' Mereka berkata, 'Adakah Engkau meletakkan di dalamnya orang yang akan membuat kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah, ...'" (2:30)

Para malaikat didapati telah mengetahui bahawa "orang" sebelum Adam telah membuat kerosakan di bumi dengan menumpahkan darah. Seperti itu difahamkan daripada kajian tersebut.

Namun, Adam adalah bukan serupa spesies sebelumnya. Kerana dia adalah lebih pandai, iaitu setelah Allah mengajarnya. Firman Tuhan,

"Dan Dia mengajar Adam nama-nama, kesemuanya, ..." (2:31)

Dia dan isteri juga pandai menutup bahagian-bahagian aib mereka (7:22), dan anak lelakinya pula diajar Tuhan cara mengebumikan mayat (5:31), tidak seperti spesies-spesies yang terdahulu.

Adam dicipta daripada tanah liat seperti semua manusia yang ada pada hari ini. Keturunannya (Adam) pula dicipta daripada pati air yang keji. Firman Tuhan,

"Apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Sesungguhnya Aku mencipta seorang manusia daripada tanah liat.'" (38:71)

"Yang mencipta segala sesuatu dengan baik. Dan Dia memulakan ciptaan manusia daripada tanah liat, Kemudian Dia membuatkan keturunannya daripada pati air yang keji," (32:7-8)

Jenis tanah liat yang diguna untuk mencipta Adam dan manusia ialah yang kering, daripada lumpur. Firman-Nya,

"Sesungguhnya Kami mencipta manusia daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk." (15:26)

"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Sesungguhnya, Aku mencipta seorang manusia daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk," (15:28)

Justeru, tidak syak lagi, bahawa Adam adalah daripada spesies Homo sapiens.

Adakah dia Homo sapiens yang pertama dicipta Allah?

Kalau tidak, mengapa pula Allah menggunakan kalimat Bani Adam pada beberapa ayat-Nya, seperti berikut:

"Wahai Bani Adam, Kami telah menurunkan kepada kamu suatu pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian aib kamu, dan (pakaian) perhiasan, dan pakaian takwa - itu lebih baik; itulah satu daripada ayat-ayat Allah, supaya mereka mengingati." (7:26)

"Dan apabila Pemelihara kamu mengambil daripada Bani Adam, daripada punggung mereka, keturunan mereka, dan menjadikan mereka saksi-saksi ke atas jiwa mereka, 'Bukankah Aku ini Pemelihara kamu?' Mereka berkata, 'Ia, kami menyaksikan'; supaya kamu tidak mengatakan pada Hari Kiamat, 'Bagi kami, kami lalai mengenai yang ini.'" (7:172)

"Kami memuliakan Bani Adam dan membawa mereka di darat dan laut, dan merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik, dan melebihkan mereka dengan berlebihan di atas kebanyakan daripada apa yang Kami cipta." (17:70)

(Kajian yang dimaksudkan dari awal tadi difahamkan setelah menonton sebuah rencana di salah sebuah rangkaian TV. Ia tidak ada kaitan dengan teori Darwin kerana antara tulang-tulang "orang" yang dijumpai itu dijumpai lama selepas kematian beliau - seperti tulang-tulang yang baru dijumpai di sebuah pulau di Indonesia yang menunjukkan orang-orangnya pendek, kira-kira 4 kaki tinggi [1.2m], dan haiwan, seperti gajah, juga pendek dan kecil. Itu mungkin dipengaruhi faktor saiz alam sekeliling yang tidak luas. Kami tidak ingat sama ada yang baru dijumpai itu daripada spesies Homo sapiens. Betulkan kami di sini.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan