.Welcome.

Pengikut

Rabu, 15 Disember 2010

Alat Cegah Kehamilan Makin Canggih

Sejak penggunaan tampon atau tuala haid berasaskan herba untuk mencegah kehamilan oleh orang Mesir pada 1550 sebelum Masihi, alat pencegah kehamilan telah mengalami banyak perubahan. Bayangkan pada abad ke-18, kondom yang diperbuat dari selaput haiwan cukup popular.


Sejak itu, saintis sentiasa mengemas kini produk 'keselamatan' ini. Bukan saja berfungsi sebagai alat mencegah hamil, tetapi melindung daripada penyakit kelamin.

Penggunaan Hormon

Alat pencegah kehamilan pada peringkat awal membabitkan produk 'luaran'. Idea alat pencegah hamil berbentuk pil muncul pada awal 1900. Saintis Austria, Profesor Ludwig Haberlandt, membuat banyak kajian menggunakan tikus gondol pada 1920. Hanya pada 1931, dia mencadangkan penggunaan hormon untuk mengawal kelahiran kepada manusia.

Kajian itu mencipta evolusi penting dalam pencegahan kehamilan dengan generasi pertama pil pencegah hamil diperkenalkan pada 1960. Ketika itu, pil pencegah kehamilan berdos tinggi dengan gabungan elemen estrogen dan progestin (bahan sintetik yang bertindak sebagai hormon progesteron).

Pengenalan pil pencegah kehamilan mendapat sambutan hangat dengan kajian di Amerika Syarikat pada 1965 mendapati 3.8 juta wanita menggunakannya. Kajian di seluruh dunia pada 1967 pula mendapati 12.5 juta wanita mengambil pil pencegah kehamilan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan di seluruh dunia kini terdapat kira-kira 100 juta wanita mengambil pil pencegah kehamilan.

Begitupun, pil pencegah kehamilan generasi pertama tidak bebas kontroversi apabila dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan seperti meningkatkan berat badan.

Generasi kedua pil pencegah kehamilan dihasilkan dengan pengambilan 20 mikrogram (mcg) estrogen sintetik (ethinyl estradiol) dan satu persepuluh tahap progestin asal.

Versi pertama pil cegah hamil mengandungi 50 mcg estrogen yang direka sebagai mimik kitaran haid semula jadi dengan dos estrogen yang tinggi. Hari ini, sepertiga daripadanya menawarkan kesan yang baik, lebih selamat dan mempunyai manfaat tambahan pada kesihatan.

Pelbagai Alat Cegah Hamil

[alat.cegah.kehamilan.2.jpg]
Tampalan pada kulit, evolusi baru alat cegah hamil

Begitupun, pil bukan satu-satu alat pencegah kehamilan di pasaran. Berdasarkan gaya hidup, kesesuaian dan kesukaan, wanita boleh memilih pelbagai alat cegah hamil. Antara yang popular adalah pil perancang dan IUD (intra uterine device) atau pendekatan lebih baru seperti implan hormon,cincin vagina atau tampalan.

IUD misalnya muncul pada abad ke 20. Ia diasaskan oleh saintis Jerman, Carl Hollweg, pada 1902. Ketika itu, wanita perlu memasukkan sendiri alat itu dan ini dilihat bahaya serta berisiko tinggi dijangkiti penyakit. Idea Hollweg dikemaskinikan oleh seorang lagi doktor Jerman, Richard Richter, pada 1909.

Hari ini, walaupun terdapat pelbagai jenis alat pencegah kehamilan di pasaran, WHO melaporkan 120 juta pasangan tidak menggunakan pil pencegah hamil walaupun berhasrat mengehadkan jumlah kelahiran anak.

Kebanyakan kes berlaku di negara miskin atau kurang membangun dengan antara punca utama adalah akibat kekurangan pendidikan dan pengetahuan mengenai perancangan keluarga serta tahap perkhidmatan kesihatan yang buruk.

Di negara membangun dan maju, merancang keluarga adalah antara keutamaan dalam kehidupan wanita. Kewujudan pelbagai jenis alat pencegah kehamilan di pasaran membolehkan wanita membuat pilihan berdasarkan kesesuaian dan gaya hidup.

Para wanita adalah dinasihatkan supaya merujuk kepada doktor apabila membuat pilihan dan rancang kehamilan dengan baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan