Sering terdengar sesetengah orang Melayu menyatakan bahawa jumlah ayat di dalam al-Qur'an adalah enam ribu, enam ratus, dan enam puluh enam (6,666). Angka itu manis disebut, senang diingat, dan sedap didengar.
Namun begitu, bukan semua yang sedap didengar dan senang diingat yang dikeluarkan daripada mulut yang manis itu benar. Haruslah diperiksa dahulu sebelum menerimanya bulat-bulat. Apatah lagi kalau ia mengenai agama kerana syaitan juga boleh berbuat demikian - "syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu" (6:112).
Untuk mengetahui sama ada jumlah 6,666 itu benar atau tidak adalah tidak susah. Cuma ambil sebuah calculator dan sebuah kitab al-Qur'an. Mula dari surah Fatihah yang diakhiri dengan nombor 7. Itu adalah jumlah ayat bagi surah tersebut. Kemudian pergi ke hujung surah 2 (al-Baqarah) dan bertemu pula dengan angka 286. Teruskanlah, surah demi surah, hingga ke hujung surah terakhir, iaitu surah yang ke-114. Campurkan kesemua angka itu, dan jumlah yang didapati adalah jumlah ayat-ayat al-Qur'an yang sebenar.
Pengiraan tersebut disenangkan di sini. Disediakan di bawah ini satu senarai yang mengandungi surah-surah (menurut nombornya sahaja), jumlah ayat-ayatnya, dan jumlah kesemua ayat di dalam surah-surah itu, atau jumlah kesemua ayat kitab al-Qur'an yang sebenar:
Surah:
1-5 ( 7 + 286 + 200 + 176 + 120 ) = 789 ayat
6-10 ( 165 + 206 + 75 + 129 + 109 ) = 684
11-15 ( 123 + 111 + 43 + 52 + 99 ) = 428
16-20 ( 128 + 111 + 110 + 98 + 135 ) = 582
21-25 ( 112 + 78 + 118 + 64 + 77 ) = 449
26-30 ( 227 + 93 + 88 + 69 + 60 ) = 537
31-35 ( 34 + 30 + 73 + 54 + 45 ) = 236
36-40 ( 83 + 182 + 88 + 75 + 85 ) = 513
41-45 ( 54 + 53 + 89 + 59 + 37 ) = 292
46-50 ( 35 + 38 + 29 + 18 + 45 ) = 165
51-55 ( 60 + 49 + 62 + 55 + 78 ) = 304
56-60 ( 96 + 29 + 22 + 24 + 13 ) = 184
61-65 ( 14 + 11 + 11 + 18 + 12 ) = 66
66-70 ( 12 + 30 + 52 + 52 + 44 ) = 190
71-75 ( 28 + 28 + 20 + 56 + 40 ) = 172
76-80 ( 31 + 50 + 40 + 46 + 42 ) = 209
81-85 ( 29 + 19 + 36 + 25 + 22 ) = 131
86-90 ( 17 + 19 + 26 + 30 + 20 ) = 112
91-95 ( 15 + 21 + 11 + 8 + 8 ) = 63
96-100 ( 19 + 5 + 8 + 8 + 11 ) = 51
101-105 ( 11 + 8 + 3 + 9 + 5 ) = 36
106-110 ( 4 + 7 + 3 + 6 + 3 ) = 23
111-114 ( 5 + 4 + 5 + 6 ) = 20
-----------------------------------------------------------
Jumlah besar = 6,236 ayat
Maka bilangan ayat di dalam al-Qur'an adalah 6,236, bukan 6,666, seperti yang diajar ulama palsu.
Tiap-tiap surah, melainkan surah 9 (At-Taubah), bermula dengan "Bismillah." Akan tetapi hanya Bismillah yang pertama di dalam al-Qur'an, iaitu di surah 1 (Al-Fatihah), dikira sebagai satu ayat. Ini bermaksud ia diberi nombor, iaitu nombor 1. Bismillah di surah lain yang berjumlah 112 kesemuanya tidak dikira atau diberi nombor.
Andaikata bilangan 112 itu ditambah kepada jumlah besar 6,236 tadi, maka ia menjadi 6,348, yang bukan juga sebanyak 6,666 yang keramat itu.
Perbezaan bilangan ayat di antara dua jumlah tersebut (6,236 dan 6,348) dengan 6,666 adalah 430 dan 318 masing-masing. Perbezaannya besar. Di manakah pula tersimpannya ayat-ayat yang berlebihan itu?
Mungkin terdapat orang yang mempercayai ada unsur mistik pada nombor 6666 itu. Sekiranya begitu, maka mistis nombor 6666 itu adalah, tiada lain, tetapi hanya karut belaka. Kerana tiada ayat Allah daripada al-Qur'an yang tersembunyi. Tiada juga kebenaran pada kepercayaan iaitu hanya sesetengah orang sahaja yang mengetahui rahsianya.
Ayat-ayat Allah di dalam al-Qur'an adalah jelas dan nyata untuk dibaca dan dijadikan petunjuk bagi semua lapisan manusia di dunia. Mereka diturunkan Allah sebagai bukti yang jelas lagi nyata atas kebenaran yang sebenar. Terdapat banyak ayat di dalam al-Qur'an yang menyebut mengenainya. Antaranya adalah enam yang berikut:
1. "Dan Kami menurunkan kepada kamu ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan tiada yang tidak percaya kepadanya melainkan orang-orang yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)" (2:99).
2. "Demikianlah, Kami menurunkannya sebagai ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia mengkehendaki" (22:16).
3. "Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan seorang lelaki yang menghendaki untuk menghalangi kamu daripada apa yang bapa-bapa kamu sembah'; dan mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan kedustaan yang diada-adakan'" (34:43).
4. "Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas daripada Petunjuk itu, dan Pembeza" (2:185).
5. "Inilah bukti yang nyata bagi manusia, dan satu petunjuk, dan satu pengasihan bagi kaum yang yakin" (45:20), dan,
6. "Bukti-bukti yang nyata telah datang kepada kamu daripada Pemelihara kamu. Sesiapa melihat, ia adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa buta, ia adalah kepadanya sendiri; aku (Muhammad) bukanlah penjaga kamu" (6:104).
Kembali kepada nombor 6,666, lalu teringat akan seorang kenalan, semasa bekerja dulu, yang mengatakan jumlah ayat al-Qur'an adalah sebanyak itu. Setelah diberitahu jumlah yang sebenar, dan bagaimana ia diperolehi, dia berkata, sedang tidak mempercayainya, bahawa dia akan bertanya "Tok Mufti" mengenainya. Tok itu adalah guru yang mengajarnya. Sangat dibanggakannya. Mahukah tidak berbangga dapat berguru atau berapat dengan seorang Mufti negeri yang manis rupa dan pertuturannya, lagi dihormati dan masyhur pula. (Mufti tersebut telah bersara beberapa tahun lalu.)
Itulah padah bagi mereka yang tidak mahu mendengar semua ucapan atau pandangan orang lain. Mereka hanya mendengar ucapan orang-orang tertentu sahaja yang disangka alim serta didewa-dewakan oleh orang ramai. Lalu bukti yang jelas dan nyata, apabila tampil ke mukanya, didustakan dengan sengaja. Sebab, ingin menerima ucapan "dewa" yang palsu dan indah, yang menipunya (atas kecuaiannya sendiri), sebagai yang hak dan benar.
Setelah Allah memperingatkan supaya mendengar semua ucapan orang, serta menggunakan minda untuk memilih dan mengikuti yang terbaik daripadanya, sesetengah orang Melayu masih dalam keraguan. Walaupun, cara itu, tambah-Nya lagi, akan membuat-Nya memberi petunjuk, namun mereka tetap dalam keadaan ragu-ragu atau lupa.
Justeru, Peringatan itu diturunkan di bawah ini untuk renungan bersama. Dengannya, berakhirlah tulisan di sini. Firman Allah:
"Yang mendengar ucapan, dan mengikuti yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah memberi petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang yang mempunyai minda" (39:18).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan